Tuesday, May 01, 2018

Selamat Hari Pekerja 2018

Salam.

Pejam celik pejam celik, semalam maka genaplah sudah ulangtahun ke-empat semenjak aku mula menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur untuk mula bekerja. Jika diikutkan pada surat tawaran, aku mula bekerja pada 1 Mei 2014, tetapi memandangkan 1 Mei merupakan sambutan Hari Pekerja, maka aku mula bekerja pada 2 Mei 2014 yakni pada hari Jumaat. Bila dikenangkan kembali kenangan ketika mula-mula sampai di Jalan Duta hari itu, tersenyum sendirian aku. Hahaha~

*****
[30 April 2014]

Pagi itu, aku pun naik bas dua tingkat dengan motosikal ayah aku dimuatkan di tingkat bawah. Seperti mana para penumpang lain, kadang-kadang aku akan terlena di kerusi empuk yang besar tue. Setibanya di Kuala Lumpur pada waktu tengah hari, aku mohon pemandu bas itu berhenti di hentian sebelah Tol Jalan Duta. Di situlah aku mula menjejakkan kaki di Kuala Lumpur bersama dengan motosikal pusaka arwah ayah aku dan juga sebiji beg galas.

Motosikal dua lejang yang dihasilkan pada tahun 1990 itu aku hidupkan dan bermulalah tungganganku di Kuala Lumpur. Destinasi aku waktu itu adalah Taman Melati, Gombak. Perjalanan aku diteruskan menelusuri lebuhraya DUKE sehinggalah aku sampai di persimpangan Greenwood. Dari situ, aku pun masuk ke Jalan Batu Caves yang membawa aku tembus ke Jalan Gombak. Dari situ, aku teruskan menunggang sehingga ke hujung Jalan Gombak dan akhirnya masuk ke Jalan Pahang.

Bila ternampak sahaja bangunan Istana Budaya dari jauh, terdetik di hati yang aku nie sebenarnya dah jauh menyimpang dari destinasi asal. Huhuhu~ Jadi aku pun berhenti di stesen minyak BHP sebelum tiba di Bulatan Jalan Pahang. Memandangkan waktu itu aku tidak mempunyai telefon pintar, maka terpaksalah aku menghubungi rakan pintar. Heheheh~ Setelah mendapat arah yang ingin dituju, maka bergeraklah aku ke Taman Melati melalui Jalan Genting Kelang.

Maka tamatlah sudah alkisah hari pertama aku di Kuala Lumpur.

[Akan Bersambung]

nOtA dI kAkI: 30 April 2014 nie bukanlah hari pertama aku di KL, sebab sebelum-sebelum tue lagi aku dah pernah sampai KL, cumanya waktu tue aku pi sana dengan rombongan sekolah atau dengan keluarga laa. Cumanya yang empat tahun lepas punya pertama kali tue sebab aku datang situ sorang-sorang hanya berteman dengan motosikal. Huhuhu~

~Aku Pejalan Kaki~


Tuesday, November 04, 2014

Mana kunci aku Pah!!!

Betapa pentingya kunci itu sehinggakan dalam ketiadaannya, sesetengah alat tidak dapat kita gunakan manfaatnya walaupun sudah sah dari segi undang-undang mahupun pengetahuan umum, ianya merupakan milik kita. Walaupun tanpa kunci alat tersebut masih lagi boleh digunakan, tetapi beberapa kaedah usaha yang tertentu terpaksalah kita laksanakan untuk mendapatkan akses kepadanya. Maka, seharusnya dalam ketelitian kita menjaga sesuatu alat, janganlah kita terlupa untuk turut sama menjaga kuncinya. Kerana tanpa kunci, apalah gunanya alat. Walaupun kunci bukanlah matlamat, tetapi ianya membantu kita untuk mencapai apapun matlamat yang sudah kita tetapkan. Jagalah kunci-kunci yang ada. Jangan sampai ada yang tercicir. Takut-takut kita tergelincir. Tergelincir dari landasan. Landasan yang lurus lagi benar...

nOtA dI kAkI: Kunci moto yang disangka hilang rupa-rupanya ada bawah helmet. Kah kah kah~~

~Aku Pejalan Kaki~


Sunday, May 25, 2014

Perarakan

Di sebalik kemeriahan perarakan, yang dirai adalah kesedihan. Sesuai sangat dengan lagu nie.



nOtA dI kAkI: 'Perarakan' dan 'perarakkan' adalah berbeza.

~Aku Pejalan Kaki~

Saturday, October 05, 2013

Alhamdu Lillah

[12 September 2013]

Jam menunjukkan pukul 7.00 petang sewaktu bas yang aku tunggu di Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang tiba. Bas tersebut datang dari Alor Setar, Kedah, dan stesen terakhirnya adalah di Lumut, Perak. Namun begitu bukan Lumut destinasi aku, tetapi Seri Iskandar. Oleh kerana bagi memudahkan pengurusan logistik dan kewangan, bas tersebut juga menerima penumpang bagi perjalanan Butterworth - Seri Iskandar. Disebabkan itu juga bas ini cuma ada pada perjalanan sebelah petang sahaja, kerana di sebelah pagi, bas tersebut tidak melalui Seri Iskandar untuk ke Lumut, tetapi melalui Pantai Remis.

Seperti kebiasaan bagi penumpang bas, setelah bas sampai, aku pun segera menaiki bas tersebut dan mengambil tempat duduk yang tiga baris dari belakang. Perjalanan tersebut ku andaikan akan mengambil masa beberapa jam sahaja dan jangkaan aku, jam 10.30 malam akan sampai di Seri Iskandar. Setelah beberapa minit berada di dalam bas, perjalanan kami pun bermula.

* * *

Bagi seorang yang tidak mempunyai sebarang gadget canggih, aku senang tertidur di dalam bas. Kerana hari sudah gelap, jadi membaca pun bukanlah satu pilihan yang tepat - kalau siang pun belum tentu aku akan baca, wahahaha. Tetapi bila aku kata tidur bukanlah bermaksud seperti tidur di atas katil yang empuk. Ada masanya terjaga dan ada masanya hanya sekadar tidur-tidur ayam. Jadi pecutan, goncangan dan inertia brek bas itu dapat dirasai.

* * *

Tiba di suatu kawasan, tiba-tiba aku tersedar dan dapat merasa bas masih lagi bergerak. Tetapi malang tidak berbau, sejurus kemudian bas membrek secara mengejut dan kerana jarak yang terlalu dekat dengan kenderaan di hadapan maka bas tersebut merempuh kenderaan tersebut. Sejurus sebelum impak, terdengar suara penumpang yang menjerit dan selepas impak kebanyakkannya terterpa kehadapan. Walaupun begitu tiada siapa yang cedera. Cuma ada anak kecil yang menangis kerana terkejut tetapi mujurlah dipegang erat oleh ibunya dan tidak tercampak ke hadapan.

Bas berhenti seketika di atas lebuhraya dan kemudian terpaksa meneruskan juga perjalanan dengan kelajuan yang perlahan ke Ipoh untuk urusan pemindahan penumpang.

kerosakan pada bas
Kerosakan yang dialami oleh bas terbabit.
Setelah penumpang dipindahkan di Ipoh, perjalanan kami diteruskan seperti biasa dan kejadian yang menimpa sudah cukup buat penumpang mengingati detik-detik sebelum impak. Yang tinggal hanyalah doa dan harapan agar dapat melihat hari esok yang pada ketika itu belum pasti lagi.

nOtA dI kAkI: Phewww~ Waktu tue, boleh rasa macam mana adrenalin dipam-pam masuk ke dalam jantung nie. Hanya tuhan sahaja yang mengetahui. Alhamdu Lillah...

~Aku Pejalan Kaki~

Thursday, September 26, 2013

Musstopherr Malaybus Menjejak Pantai Timur

15 Oktober 2013, satu tarikh keramat apa bila aku berjaya melintas Banjaran Titiwangsa yang terhampar sepanjang Semenanjung Malaysia. Kalau Christopher Columbus menemui America, Mussthopherr Malaybus pula menjejak Pantai Timur - cuma pantai timur nie orang dah jumpa dah :P Tempat yang dituju ialah Kuala Besut, Terengganu. Bergerak dari Seri Iskandar sekitar jam 10.00 pagi, dan sampai dalam jam 8.00 malam. Keberangkatan konvoi sebanyak dua buah kenderaan itu bertujuan untuk menghadiri Walimah sahabat kami dengan pasangannya di sana.

Namun begitu, sambil menyelam minum air. Di dalam perjalanan tersebut, kami sempat singgah makan tengah hari di Hentian Perah di laluan Kuala Kangsar - Pasir Puteh. Di laluan yang sama jugak, kami telah singgah di Tasik Banding yang terletak di Hutan Royal Belum. Kemudian kerana mengejar masa, selepas itu tiada tempat yang kami singgah lagi dan terus ke destinasi.

peta perjalan pergi
Laluan pergi mengikut jalan Kuala Kangsar - Gerik - Pasir Puteh.
Jarak yang ditempuhi adalah sekitar 384 KM.
Atas ehsan tuan rumah, homestay telah disediakan sebagai tempat penginapan kami. Majlis diteruskan dengan Majlis Akad Nikah pada malam 15 Oktober dan Kenduri Walimatul Urus pada siang 16 Oktober. Majlis Walimatul Urus yang diadakan adalah meriah dengan diserikan pula dengan persembahan seni silat oleh salah seorang sahabat konvoi kami. Setelah tengah hari, kami meminta diri daripada majlis kenduri tersebut untuk pulang ke homestay dan berehat sebelum bertolak balik.

Sebelum balik, kami ada singgah ke sebuah kedai menjual keropok losong dan juga jeti ke Pulau Perhentian. Di situ kami membeli beberapa cenderamata untuk dibawa pulang sebagai tanda kenang-kenangan. Maklumlah, aku baru pertama kali menjejakkan kaki di kawasan pantai timur :P Lebih kurang jam 7.15 malam, kami bergerak pulang. Persinggahan pertama kami adalah di sebuah masjid kerana waktu itu sudah Maghrib. Kemudian untuk makan malam, kami singgah di Restoran E-Rup Sup bertempat di Pasir Puteh, Kelantan sekitar jam 8.15 malam -- first time menjejakkan kaki di Kelantan kerana waktu datang cuma lalu jer Kelantan, tak turun dari kereta pun. Di situ, kepakaran mereka ialah menyediakan pelbagai aneka sup, ada antara sahaba sekonvoi kami memesan sup gear box, sup belut dan juga sup ekor. Bagi aku pula, cukup sekadar nasi goreng pattaya.

Seterusnya, perjalanan pulang kami diteruskan lagi sekitar jam 9.30 malam. Kami sampai di Seri Iskandar sekitar jam 4.00 pagi setelah melalui jalan berbukit-bukau di Gua Musang dan juga Cameron Highland. Setelah sampai, tiada kata-kata yang mampu mengungkapkan kata-kata melainkan ngangaan di pembaringan. Semoga ini menjadi salah satu dari motivasi untuk sampai lagi ke pantai timur, jika tidak beramai-ramai, berseorangan pun jadilah.

peta perjalanan balik
Laluan balik kami mengikut laluan Gua Musang - Cameron Highland.
Jarak yang ditempuh adalah sekitar 379 KM.

nOtA dI kAkI: Sakit punggung nie woi, 5 jam di atas kusyen kereta. Kematu habis. Wahahaha~

nOtA dI kAkI nO 2: Lama tak tulis karangan, macam har har J jadinya. Wahahaha~

~Aku Pejalan Kaki~